Follower Links

Wednesday 1 October 2014

Jin: Siapa mereka?

Jin seperti manusia. Bezanya jin tidak mampu dilihat dek mata kasar biasa, seperti juga seorang manusia yang anda tahu orangnya tetapi belum pernah berjumpa. Jika apa yang anda dengar itu adalah keburukan, pasti anda akan prejudis. Dan jika apa yang anda dengar itu yang baik-baik sahaja, anda akan takjub sebelum melihat tuannya.


Hakikatnya jin seperti manusia yang anda dengar sifatnya tetapi belum pernah berjumpa bagaimana sebenar gerangannya. Saya menggunakan frasa ayat di atas menggambarkan bagaimana jin yang sebenar, supaya analoginya mudah difahami. Bagi orang yang pernah melalui pengalaman atau mendengar cerita hantu, mereka prejudis bahawa jin ini makhluk yang sangat jahat. Manakala mereka yang pernah melihat jin bersolat di masjid atau menolong sesuatu keadaan yang tidak tercapai dengan kudrat biasa manusia, mereka menjadi sangat takjub.

Tanpa ilmu, kejahilan bisa menyesatkan manusia. Berguru sebuah buku atau pun seorang guru belum cukup, tambahlah sekali dengan berguru melalui pengalaman. Setakat ini, saya rasa pesakit saya sudah mencecah beratus orang. Hakikatnya saya tidak pernah mengambil kisah jumlah pesakit. Namun ke mana sahaja saya pergi, keluar bercuti atau bermusafir jauh dari makmal saya ini pasti ada sahaja temu janjin atau permintaan yang perlu dipenuhi. Terlalu ramai manusia yang sakit sebenarnya walau zahir tampak sihat.

Bayangkan jika seorang pesakit mempunyai paling tidak 3 jin di dalam badannya, dan saya pernah merawat seorang doctor yang mempunyai jin lebih dari 100. Saya tidak menggunakan perkataan ekor, kerana mereka bukan binatang. Ada di antara mereka yang bertauhid seperti kita, ada yang Kristian, ada Hindu, Buddha dan ada yang langsung tidak beragama. Rasanya jumlahnya ratusan sudah saya Islamkan, tidak ada satu yang saya bunuh jin di dalam badan manusia. Kerana bangkai jin di dalam badan manusia mengeluarkan bau tertentu yang menarik kerabatnya untuk membalas dendam.

Di sinilah perbezaannya pengalaman dan ilmu dari sebutir buku, pengalamanlah yang banyak mengajar agar bersabar sewaktu berdepan dengan makhluk Allah ini. Dengan sabar dan tegas memberi amaran dan mendakwahi mereka agar berubah menjadi hamba Allah yang menerima Islam dan seluruh undang-undang kehidupan sebagai muslim. Tegas untuk saya katakan, bahawa orang yang mengatakan sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia adalah manusia yang tidak diberi rahmat oleh Allah untuk berkenalan dengan makhluk yang satu ini. Ia bukan dalil dari Al Quran, jauh sekali diucap oleh seorang Nabi.

Taklif atau tanggungjawab jin dan manusia adalah sama, dan mereka diletakkan di atas satu neraca iman dan amal yang sama: Syurga atau Neraka. Sebab itu Al Quran mengiktiraf kewujudan jin dengan satu nama Surah bermaksud Al Jin pada juzu ke-29 seperti mana Al Quran menceritakan perihal manusia pada Surah Al Insan. CUMA, bezanya kedudukan hierarki jin di alam ini seperti mana yang Allah ciptakan adalah di bawah manusia, kerana itu di alam jin tidak Nabi atau Rasul. Yang ada cuma Islam atau Kafir. Dan sebagaimana perangai manusia, jin ada yang jahat dan ada yang baik. Jadi usah pelik jika wujudnya jin Islam yang menjadi jin sihir, kerana di alam manusia sendiri ada muslim yang tidak pernah bersolat.

Dalam rawatan, saya pernah mengambil kesempatan berbual dengan satu jin yang dipaksa oleh bomoh dan diikat dalam badan pesakit. Saya tegaskan sekali lagi, jin Islam ini telah dipaksa. Jangan pelik jika ada jin yang dipaksa, kerana mereka juga ada yang lemah dan ada yang kuat. Terutama jin kanak-kanak ataupun yang sudah tua. Mudah sekali ditangkap oleh bomoh atau pengamal ilmu hitam yang bertuankan Iblis, satu lagi makhluk yang lebih kuat dari jin. Saya bertanya perihal sebaik-baik manusia sejahat-jahat jin, beliau yang bernama Abd Rahman meminta saya ini yang beristighfar. Katanya, jika ayat tersebut benar. Cuba fikir, setiap yang baik pasti ke syurga dan yang jahat ke neraka. Adakah manusia yang dikatakan baik tadi apabila tidak pernah solat akan ke syurga dan jin Islam yang dikatakan jahat ini sekalipun beramal soleh akan tetap ke neraka?

Perbualan dan pengalaman yang saya lalui dari hari ke hari dalam dunia rawatan membuat saya melayan jin seperti saya melayan manusia. Seperti manusia juga apabila berkata-kata banyak yang menipu, pasti jin juga seperti itu. Namun tidak bermakna semua yang dikata oleh mereka adalah tipu semata-mata. Ada juga kebenaran dan ibrah yang boleh diambil. Jadi usahlah terlalu prejudis atau takjub dengan mereka, kerana mereka tidak ada beza dengan manusia. Juga berhati-hati, jangan terlalu percaya. Wasatiyyah lah dalam mengeluarkan sebarang perkataan, kerana boleh jadi cabul mulut membuat keluarga atau diri merana. 

Ketika saya sedang menulis ini pun, ada jin yang hadir untuk membaca. Semoga manfaat bersama untuk menjelaskan kekeliruan besar disebabkan kurangnya pendedahan yang bersifat neutral seperti ini. Moga Allah memberkati. J

0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites