Follower Links

ILuvIslam.

I Luv Islam.

Al Quran

Andai pernah kau genggam, jangan sekali kau lepaskan.

Majalah Gen Q/ Edisi ke 23- Julai 2013.

Wawancara tentang dunia Huffaz professional dan liku-liku perjalanan mendaki bongkah kedoktoran.

Al Fatihah buat Ayahanda.

Allah ampuni dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku.

Ibnu Sabil.

Bersiaplah dengan ilmu untuk peperangan kejahilan yang tidak berkesudahan.

Life without Quran.

Is like a ship without a COMPASS.

Dakwah adalah cinta.

Dan cinta akan menuntut semuanya dari dirimu.

Bacalah!

Bacalah dengan nama Tuhanmu.

Kata-kata Imam Syafie.

Sebaik ilmu adalah Al Quran.

Sampaikan yang benar.

Berkatalah walaupun pahit.

Sailing a LIFE.

It's OK not to be PERFECT.

Wednesday 27 February 2013

Anak Impianku

Anak soleh solehah itu adalah tuaian yang tersangat istimewa. Betapa ramai yang sudah mencuba dan betapa ramai juga yang teraba-raba mencari sekelumit harap agar impian menjadi kenyataan. Tiada jalan mudah atau singkat untuk membimbing seorang anak menjadi seorang manusia yang mengenal erti dan memahami kehidupan rabbani.

Harus sekali kalian sedar dan bawa ingat, bahawa membentuk anak soleh solehah bukan sahaja di sekolah mahupun di rumah, tetapi seawal mereka dibesarkan di rahim ibunya. Mahu atau tidak, kita harus akur setiap jawapan yang kita cari perlu diikuti dan dipatuhi formulanya. Jawapan mudah, kembali kepada manual asal wujud kita manusia. Al quran.

Membentuk soleh solehah dengan Al quran adalah impian besar hampir setiap pasangan yang membina baitul muslim. Semuanya bermimpikan keluarga soleh solehah yang serba indah. Itulah mimpi semalam yang seharusnya membawa kita sedar dari lena yang panjang.
Untuk mengharapkan sesuatu tuaian baik, benih yang disemai haruslah diperbaiki. Ibubapa adalah asas pertama yang harus diberi perhatian, mana mungkin batang yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus melainkan dengan izin Allah. Dan Allah jualah yang meletakkan sabab dan musabab bahawa setiap hasil dikadarkan pada ikhtiar dan usaha yang kita lakukan.

Sebelum berfikir bagaimana untuk mendidik anak yang soleh solehah, berfikirlah terlebih dahulu bagaimana untuk mendidik diri dan pasangan bagaimana untuk menjadi hamba yang soleh solehah. Setiap orang adalah anak kepada seseorang, maka tunaikanlah setiap kewajipan dan hak kita sebagaimana kita menginginkan dilayani oleh seorang anak.

Pesanan ini bukan untuk anak-anakmu, bahkan ia ditujukan khas buatmu. Bahawa anak soleh solehah yang diimpikan. Itulah kita. Impian ayah bonda.

Thursday 14 February 2013

Teknik 7 @ 21 @ 40

Antara banyak-banyak cara menghafal, cara ini paling oldskool dan terbaik. Walaupun cara ini sebenarnya adalah teknik hafalan bagi mereka yang baru berkenalan dengan Al Quran. Cara paling asas dan paling mudah.

Teknik menghafal 7 @ 21 @ 40 sebenarnya simple dan mudah, sesuai untuk kebanyakan orang dan usia. Sebenarnya cara ini adalah terbalik yang hamba perolehi dari abang-abang senior waktu mula-mula mengenal kaedah menghafaz Al Quran. Teknik yang asas ini perlu difahami dengan teliti, sebelum diamalkan dan dijadikan tabiat hafalan:

Pertama: Baca mukasurat yang akan dihafal dengan melihat Al Quran. Pastikan semua tajwid sudah diikuti dengan betul, baca sebanyak 40 kali. Baca dan lihat Al Quran dengan focus, perhatikan setiap nombor ayat, kedudukan ayat, baris dan huruf ayat tersebut.

Kedua: Mulakan menghafal mukasurat tadi dengan menghafal ½ mukasurat sebanyak 21 kali. Fokuskan betul-betul ingatan hanya pada ½ yang pertama sebelum beralih ke ½ yang kedua. Jangan beralih sekiranya masih belum cukup 21 kali bacaan walaupun kita sudah berjaya mengingati ½ yang pertama.

Ketiga: Hafal keseluruhan muka surat tersebut dengan mencamtumkan ingatan pada ½ yang pertama dan ½ yang kedua sebanyak 7 kali. Kali ini perhatikan makna dan maksud ayat untuk memudahkan kita menyambung keseluruhan hafalan. Hafal dengan tenang, tidak perlu tergopoh gapah. Hafal dan fahami betul-betul makna muka surat tadi seolah-olah ia dituju khusus kepada kita.

Kebanyakan ayat Al Quran adalah berkenaan dengan cerita..tentang ummat terdahulu, peristiwa lepas dan akan datang. Jika kita berjaya menghafal makna setiap perkataan Al Quran tadi, insya Allah kita dengan mudah dapat menyambung ayat-ayat seterusnya kerana kita sebenarnya menghafal bait-bait cerita dari Al Quran.

Tuesday 5 February 2013

Abjad Hidupku

Assalamualaikum wbt… Bismillahi wa Allahu Akbar.

Tiada kata selain syukur. Tiada rahmat lebih indah selain hidayah dan sabar.
Segala puji bagi Tuhan Sekian Alam, pada setiap sedutan dan hembusan nafas yang tidak terbilang. Segala puji bagi Rabb Yang Maha Penyayang, pada setiap aliran darah yang mengalir tanpa halangan. Dan segala puji bagi Ilah Yang Tiada Selayaknya di sembah melainkan DIA, Allahu Rabbul Alamin. Maha Suci Tuhanku Yang Agung. 

Tiada ucapan lebih mulia melainkan ucapan Terima Kasih. Terima kasih tidak terhingga pada bonda dan ayahanda yang tercinta, Hajah Aminah Abd Rahman dan Allahyarham ayahanda Ust. Hj Wan Daud Wan Jusoh, tanpa mengira penat menghulur keringat dan semangat pada anakanda ini yang sentiasa merengek kelemahan. Terima kasih pada kakanda-kakandaku, kalian teladan hebat dalam hidup hamba. Menunjuk tanpa penat, membimbing penuh erat.
  
Dan pada guru dan murabbi budiman, yang mengajar dan menyuap tanpa jemu abjad-abjad kehidupan. Dari bilangan batu sehingga ke butir-butir bintang, mengenal hamba pada erti impian dan kenyataan. Terima kasih tidak terhingga. Dan pada teman, rakan dan taulan. Terima kasih kerana mewarnakan kehidupan kusam hamba menjadi cemerlang. Pada yang mengirim semangat tanpa penat, yang melagukan tarbiah akbar, dan yang menunjuk jalan iktibar..kalian antara sumber inspirasi perjalanan ini terus maju walau sesekali rebah juga ke bumi. Terima kasih semuanya.

Hari ini hamba membilang tangga pencapaian, menyusur butir peluh perjuangan yang luruh. Allah, terima kasih. Menjadi yang paling junior dari 6 beradik (2013) kelahiran Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Kelantan yang menyisir lautan kedoktoran, sebuah bumi tarbiah paling berjasa. Ketika 4 senior menyambung langkah di bidang agama Hadis & Qiraat, hamba termuda di antara dua yang menyusun tatihan membawa misi Al Quran ke dunia kedoktoran (PhD) ke daerah professional (engineering, logistic & planning) sewaktu usia masih 24tahun.

Manusia akan ada waktu ‘luput’nya, ingatan akan hilang akhirnya. Yang tinggal cuma nama, kekal di sebut baik atau buruknya. Sekecil ilmu yang bermanfaat, buahnya meranum hingga kiamat. Dalam satu tujuan, moga ilmu dan perkongsian ini memberi manfaat buat teman dan adik-adik generasi di belakang. Juga pada ibu bapa yang mencari formula sebenar kejayaan, susurilah tulisan ini sehingga ke hujung tinta. Kerana apa yang hamba kongsikan ini bukan sekali khayalan atau rekaan, ia adalah catatan perjalanan seorang Ibad menuju Ar Rahman dalam sisa istiqamah dan mujahadah dalam usaha mengimbangi Al Quran. 

Allah, tidak pernah kukatakan perjalanan ini mudah. Tidak pernah kubicarakan laluannya singkat. Dan tidak pernah kupinta agar diringankan beban, cuma dalam satu rintihan. Allah, sabarkan hambaMu ini memikul misi perjuangan sehingga ke nafas terakhir. Sabarkan mata yang sedang pecah empangannya, sabarkan hati yang mengeluh kepenatan, sabarkan jiwa yang meronta ingin kebebasan dan sabarkan seluruh nadiku agar tidak berhenti dari berkorban demi ummat ini.

Allah, sabarkanlah aku.

Wan Muhd Safwan
Pelajar Kedoktoran (PhD) 2013, Malaysia.

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites