Assalamualaikum wbt… Bismillahi wa Allahu Akbar.
Tiada kata selain syukur. Tiada rahmat lebih indah selain
hidayah dan sabar.
Segala puji bagi Tuhan Sekian Alam, pada setiap sedutan dan
hembusan nafas yang tidak terbilang. Segala puji bagi Rabb Yang Maha Penyayang,
pada setiap aliran darah yang mengalir tanpa halangan. Dan segala puji bagi
Ilah Yang Tiada Selayaknya di sembah melainkan DIA, Allahu Rabbul Alamin. Maha
Suci Tuhanku Yang Agung.
Tiada ucapan lebih mulia melainkan ucapan Terima Kasih. Terima
kasih tidak terhingga pada bonda dan ayahanda yang tercinta, Hajah Aminah Abd
Rahman dan Allahyarham ayahanda Ust. Hj Wan Daud Wan Jusoh, tanpa mengira penat
menghulur keringat dan semangat pada anakanda ini yang sentiasa merengek
kelemahan. Terima kasih pada kakanda-kakandaku, kalian teladan hebat dalam
hidup hamba. Menunjuk tanpa penat, membimbing penuh erat.
Dan pada guru dan murabbi budiman, yang mengajar dan menyuap
tanpa jemu abjad-abjad kehidupan. Dari bilangan batu sehingga ke butir-butir
bintang, mengenal hamba pada erti impian dan kenyataan. Terima kasih tidak
terhingga. Dan pada teman, rakan dan taulan. Terima kasih kerana mewarnakan
kehidupan kusam hamba menjadi cemerlang. Pada yang mengirim semangat tanpa
penat, yang melagukan tarbiah akbar, dan yang menunjuk jalan iktibar..kalian
antara sumber inspirasi perjalanan ini terus maju walau sesekali rebah juga ke
bumi. Terima kasih semuanya.
Hari ini hamba membilang tangga pencapaian, menyusur butir
peluh perjuangan yang luruh. Allah, terima kasih. Menjadi yang paling junior
dari 6 beradik (2013) kelahiran Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat Pulai
Chondong, Kelantan yang menyisir lautan kedoktoran, sebuah bumi tarbiah paling
berjasa. Ketika 4 senior menyambung langkah di bidang agama Hadis & Qiraat,
hamba termuda di antara dua yang menyusun tatihan membawa misi Al Quran ke
dunia kedoktoran (PhD) ke daerah professional (engineering, logistic &
planning) sewaktu usia masih 24tahun.
Manusia akan ada waktu ‘luput’nya, ingatan akan hilang
akhirnya. Yang tinggal cuma nama, kekal di sebut baik atau buruknya. Sekecil
ilmu yang bermanfaat, buahnya meranum hingga kiamat. Dalam satu tujuan, moga
ilmu dan perkongsian ini memberi manfaat buat teman dan adik-adik generasi di
belakang. Juga pada ibu bapa yang mencari formula sebenar kejayaan, susurilah
tulisan ini sehingga ke hujung tinta. Kerana apa yang hamba kongsikan ini bukan
sekali khayalan atau rekaan, ia adalah catatan perjalanan seorang Ibad menuju
Ar Rahman dalam sisa istiqamah dan mujahadah dalam usaha mengimbangi Al Quran.
Allah, tidak pernah kukatakan perjalanan ini mudah. Tidak
pernah kubicarakan laluannya singkat. Dan tidak pernah kupinta agar diringankan
beban, cuma dalam satu rintihan. Allah, sabarkan hambaMu ini memikul misi
perjuangan sehingga ke nafas terakhir. Sabarkan mata yang sedang pecah
empangannya, sabarkan hati yang mengeluh kepenatan, sabarkan jiwa yang meronta ingin
kebebasan dan sabarkan seluruh nadiku agar tidak berhenti dari berkorban demi
ummat ini.
Allah,
sabarkanlah aku.
Wan Muhd
Safwan
Pelajar Kedoktoran
(PhD) 2013, Malaysia.
0 comments:
Post a Comment