Follower Links

Wednesday, 27 February 2013

Anak Impianku

Anak soleh solehah itu adalah tuaian yang tersangat istimewa. Betapa ramai yang sudah mencuba dan betapa ramai juga yang teraba-raba mencari sekelumit harap agar impian menjadi kenyataan. Tiada jalan mudah atau singkat untuk membimbing seorang anak menjadi seorang manusia yang mengenal erti dan memahami kehidupan rabbani.


Harus sekali kalian sedar dan bawa ingat, bahawa membentuk anak soleh solehah bukan sahaja di sekolah mahupun di rumah, tetapi seawal mereka dibesarkan di rahim ibunya. Mahu atau tidak, kita harus akur setiap jawapan yang kita cari perlu diikuti dan dipatuhi formulanya. Jawapan mudah, kembali kepada manual asal wujud kita manusia. Al quran.

Membentuk soleh solehah dengan Al quran adalah impian besar hampir setiap pasangan yang membina baitul muslim. Semuanya bermimpikan keluarga soleh solehah yang serba indah. Itulah mimpi semalam yang seharusnya membawa kita sedar dari lena yang panjang.
Untuk mengharapkan sesuatu tuaian baik, benih yang disemai haruslah diperbaiki. Ibubapa adalah asas pertama yang harus diberi perhatian, mana mungkin batang yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus melainkan dengan izin Allah. Dan Allah jualah yang meletakkan sabab dan musabab bahawa setiap hasil dikadarkan pada ikhtiar dan usaha yang kita lakukan.

Sebelum berfikir bagaimana untuk mendidik anak yang soleh solehah, berfikirlah terlebih dahulu bagaimana untuk mendidik diri dan pasangan bagaimana untuk menjadi hamba yang soleh solehah. Setiap orang adalah anak kepada seseorang, maka tunaikanlah setiap kewajipan dan hak kita sebagaimana kita menginginkan dilayani oleh seorang anak.

Pesanan ini bukan untuk anak-anakmu, bahkan ia ditujukan khas buatmu. Bahawa anak soleh solehah yang diimpikan. Itulah kita. Impian ayah bonda.

0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites