Follower Links

Wednesday 9 April 2014

Soalan keramat.

Setiap minggu saya akan menerima panggilan dari wanita ini, boleh dikatakan setiap dua hari saya akan dihubungi. Barangkali saya lebih lembab dalam menekan dail ke no beliau, menyebabkan beliau lebih dulu mendahului saya. Hihi.

Perbualan kami walau tidak ada apa yang penting, namun bertanya khabar sudah menjadi rutin perbualan. Setidaknya berbual meminta pendapat atau memberi pendapat. Dulu beliau sangat tegas, sehingga deheman beliau amatlah saya takuti. Terutama apabila saya yang nakal ini kerap sangat membuat kesalahan. Tetapi perbezaan zaman dan peningkatan umur membuat kami kian mesra, yea..seperti saya juga yang melihat zamannya sudah mula beransur berlalu.
“Harini buat apa?”
“Tak mengulang (murajaah Al Quran) ke hari ini?”
“Erk..Macam biasa, hee” Itu sahajalah jawapan spontan dari saya. Itulah soalan wajib dari bonda saya, walaupun usia saya sudah menginjak ke angka 26 tahun pada 2014 ini. Soalan ini tidak pernah missed dalam setiap perbualan kami.

Dan soalan itu saya mulai rindu, apabila beliau sudah berkurangan bertanya soalan itu. Sungguh, walau saya sudah setua ini. Saya masih merasakan saya ini anak kecilnya, mahu sahaja dilayani soalan-soalan lama untuk saya boleh terus bermanja dengannya. Dan soalan itu juga yang sentiasa membuat saya mengira perhitungan hari, di waktu manakah masa saya untuk Al Quran pada hari ini.

Soalan itulah yang membuat saya berdiri di mana kaki saya menginjak waktu ini lebih tinggi dari insan yang sebaya dengan saya. Kerana soalan itu, mengingatkan saya yang sering terlupa agar sentiasa meletakkan Al Quran di hati. Bila teguran dari bonda seperti ini saya terima, jiwa teras segar dan kembali bersemangat. Walaupun sudah rutin harian saya menjadikan Al Quran sebagai santapan pagi sebelum turun ke ofis sejak waktu bekerja dulu lagi. Lebih awal dari seteguk kopi yang turun membasahi halkum.

Antara pesan bonda setiap kali kami berborak, yang membuat saya sentiasa kelu lidah apabila mendengarnya:
“Kalu dah hafal Al Quran dan tidak istiqamah, Allah, besarnya laknat Al Quran ke atas kita. Kalau kita jaga Al Quran, sebenarnya Al Quran yang akan menjaga kita. Dan kita pula dapat tolong banyak orang dengan Al Quran, ramai yang ingin menumpang syafaat. Mek pun nak tumpang syafaat Quran tu jugak nanti. “ itulah ayat jampi  bonda buat si anaknya ini, sangat inspired dan motivate seluruh ruh dan jiwa saya. Setiap kali saya mendengarnya, setiap kali itulah serasa energynya mengalir padu ke hati ini.

Mek adalah panggilan kami anak-anak kampong buat seorang ibu, dan panggilan itu keramat. Kerana ia membuat kami sentiasa sedar dari mana kami bertapak. Nasihat inilah yang sentiasa saya tagihkan, peringatan buat menghidupkan hati. Walau dalam diam, jauh di sebalik telefon menitis juga airmata keharuan dan keinsafan. Pesanan buat jiwa yang mahu ingat, pedoman buat hati agar sentiasa tsabat.

Di belakang kejayaan lelaki ini, ada seorang wanita hebat yang menungkahnya. Dan dialah wanita itu di belakang langkahan kaki ini. :)
Hajah Aminah Abd Rahman (Minah Deraman), antara 40 penerima Ibu Mithali Kelantan 2007.

1 comments:

Syukur Aalhamdulillah ibu Dr di kurniakan Ibu Mithali Kelantan

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites