Follower Links

Friday 20 September 2013

Kedoktoran: Pandang rintik hujan, bukan pelangi yang mengasyikkan.

Secubit rasa di sebalik sebutir perkataan “Kedoktoran” ingin hamba kongsikan, di kala rasa secubit inilah yang menjadikan masam manis laluan kehidupan. Ramai orang melihat warna pelangi di kaki awan, lalu dalam pegun mereka terlupa bahawa yang menghadirkan pelangi tadi adalah rintik hujan.


Begitu juga bidalan hamba untuk episod kedoktoran, di kala orang teruja dengan kejayaan yang kita miliki sehingga merasakan kita berjaya kerana kita hebat, bertuah atau apa apa sahaja yang biasa kita dengar. Tanpa mereka tahu,  mengapai awan di puncak kedoktoran dilalui dengan titis peluh dan airmata. Lebih terasa kesakitan apabila kita melalui daerah ini keseorangan, kerana dunia “research” (dengan izin) adalah satu daerah paling sepi dan sunyi dalam episod dunia sarjana. Daerah yang jatuh bangunnya adalah sendirian, penat dan memeritkan.

Ada waktu semangat berkobar setinggi gunung, melepasi sejuta halangan mendatang. Adakala ia gugur ke bumi sekering daun, mengikut lintuk-lintuk angin petang. Kering. Lesu dan tak bermaya.

Daerah kedoktoran adalah daerah jiwa yang sebenar. Ada yang awalnya tumbang, ada yang tersungkur di pertengahan..dan ada yang terus hilang tanpa jejak perjalanan. Tapi itu hanya sebahagian cerita keperitan, namun segala keperitan yang dilalui akan ada bayaran. Sebutir topi sarjana bulat di pentas penganugerahan, itulah ultimate kepuasan.

Dan hamba yang masih teraba-raba mencari kekuatan, menghabiskan sisa perjalanan yang memeritkan. Di kala tuan-tuan hanya memahami kedoktoran pada sejemput nama dan kebanggaan, musafir-musafir ilmu seperti hamba mendapatinya ia hanya seperti perjalanan di lautan. Hanya matahari dan bintang jadi panduan. Jika diibaratkan menuntut ilmu seperti jihad maka hamba rasa itulah kebenaran. Jihad termasuk dalam mengorbankan masa dan usia untuk sesuatu yang bermanfaat buat ummat, demi memastikan penyebaran dan pengembangan ilmu sejagat.

Bagi yang sedang memasang niat untuk menyambung kedoktoran, Ahlan..selamat datang ke daerah jiwa yang memenatkan. Pastikan di permulaan sudah dibekalkan semangat walau cuma segenggam, pegang erat ia sehingga ke hujung perjalanan. Senyum. ;)

0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites