Ketika masih lagi saya di sini, di sebuah perjalanan dalam
dunia sarjana. Ramai teman dan sahabat mula rebah dan ‘hilang’ dari daerah ini,
hanya airmata yang mampu saya titiskan menghantar mereka ke daerah kehidupan
mereka yang baru. Perjalanan di dunia kedoktoran ini, saya tahu..SUKAR.
Di antara mereka, tidak semua bernasib baik seperti kami
yang masih berbaki semangat dan kudrat demi memastikan destinasi dituju di
dalam genggaman. Di antara mereka, ada yang dibebani mental distress.. unsupported
wife/ husband, and thousands of other problems. Di antara mereka, ada yang
sudah cuba untuk bertahan, akhirnya kalah dengan ujian.
Di ruangan ini, kisah dan cerita mereka mengajar
saya..benarlah musafir ilmu ini adalah satu rahmat. Mana tidaknya, berapa ramai
mereka yang saya sangat kagumi kehebatan pemikiran dan semangat akhirnya
tumbang. Bukan di atas kehendak mereka, jauh sekali untuk mereka meminta.
Allah, besarnya nikmat di atas rahmat ini. Saya benar-benar bersimpati, hati
lelaki ini menangis untuk mereka. Jika sekuat mereka boleh tumbang, apa lah
saya ini yang cuma musafir kecil mengayuh perahu usang menduga badai di lautan.
Jika hari ini tanpa rahmat Allah Yang Esa, pasti saya tidak
akan sejauh ini melangkah. Musafir di daerah kedoktoran sarjana ini benar-benar
adalah hadiah dan pemberian, tidak ternilai dengan kehidupan. Saya melihat
mereka yang kecundang dengan perasaan penuh simpati, saya tahu mereka sudah
mencuba yang terbaik. Hakikatnya mereka sudah lama bertahan, namun akhirnya
kalah dimamah ujian. Terlalu banyak factor yang sebenarnya wujud, kerana
musafir ilmu seperti ini anda hanya keseorangan. Perit dan sakit tiada siapa
pun yang benar memahami, melainkan anda sendiri berjalan.
Membaca, meneliti, menulis dan membuat kajian barangkali
tampak senang, hakikatnya saban petang pulang sahaja dari pejabat terasa otak
sangat kepenatan. Mata sudah mula berat seawal isya’ berkumandang. Itu
kehidupan seorang bujang seperti saya, bayangkan jika mereka yang sudah
berkeluarga. Bebanannya adalah 10 kali ganda dengan apa yang saya alami. Sebab itu
saya amat bersimpati kepada sahabat-sahabat perjalanan yang terpaksa berundur
atau tumbang di dalam musafir ini.
Usahlah dipandang mereka dengan pandangan yang menjelekkan
ketika mereka gagal menyudahkan larian mereka, malah mereka lebih memerlukan banyak
sokongan dan bantuan moral untuk mereka kembali bangkit untuk kehidupan baru.
Atau bangkit untuk berlari di daerah sarjana ini buat sekian kali. Mereka cuma
tidak bernasib baik untuk larian kali ini. Mereka tetap sebahagian warga
sarjana yang sudah merdeka dengan cara sebaliknya. Sedang saya, masih di sini.
Terpenjara.
Jika kalian mempunyai saudara atau kenalan yang juga sedang bermusafir seperti saya, railah kehadiran mereka dengan memberi lebih kata semangat dan sumbangan moral. Jika tidak dapat membantu, usahlah menjadi bebanan. Kerana mereka adalah antara pesakit jiwa (bukan mental) yang belum bebas sehingga mereka menerima sehelai kertas tertulis : PASS/ FAIL untuk musafir ini.
Ramli Sarip: Perjalanan Hidup.
0 comments:
Post a Comment