Follower Links

Wednesday, 13 August 2014

Jiwa Merdeka: Tiada yang mampu menahan aku bahagia

Air yang mengalir sentiasa jernih kerana ia tidak membawa bersama kerikil dan batu, mengalir sendiri jatuh dari satu perdu ke perdu lain di dalam kehidupan. Energinya sentiasa baru, malah kehadirannya ditagih untuk menghidupkan kehidupan bangsa lain alam. Seperti itulah analogi jiwa merdeka, bebas dari taklukan kisah silam dan duka dendam yang mungkin terus menghitamkan jiwa insan.

Jiwa merdeka ini saya bawa buat berlari dari satu daerah ke daerah kehidupan yang lain, bebas dari rasa dendam yang mencengkam, cemburu yang membuta mahupun amarah yang meliar. Mungkin atas sebab ini ramai yang hairan, bagaimana saya boleh menerima manusia yang banyak membuat kesilapan dan mengguris kenangan pedih di benak hati. Hairan bagaimana masih boleh menerima manusia yang mengkhianati dengan penuh senyuman, ye sama sekali saya tidak menyimpan dendam. Sakit barangkali benar ada, namun saya bukan orang yang menunding jari kepada pelakunya.

Jiwa merdeka ini adalah intipati ilmu dan pengalaman, memerlukan kita mengintai perjalanan hidup dari tabir takdir. Bukan mudah untuk menjadi seperti air yang mengalir, penuh bertenaga menghempas dari batu ke batu. Walau ada kala mengalir lesu ke muara umur, tetapi ia tetap mengalir maju. Dari pekat mengheret lumpur, lalu menipis sedikit demi sedikit segala kotoran menjadi suci dan menyucikan. Ia jiwa merdeka ini akan membuat kita melihat setiap manusia adalah berbeza dan istimewa, lalu mengabaikan kesilapan dan kekurangan mereka dengan melihat sesuatu yang lebih indah. Istimewa.

Sabarlah ketika perjalanan menyakitkan dan memeritkan, ketika titis airmata jatuh gugur dari balik kelopak membasahi pipi. Sabarlah ketika berjalan dan tersungkur, samada kerana penolakan atau kegagalan menempatkan posisi diri ke suatu aras yang diimpi. Sabarlah di waktu hidup tidak seperti yang dipinta, sabarlah ketika mengatakan Sabarlah wahai hatiku. Sabar dan berjalanlah kehadapan, buanglah segala kesakitan di tepian perjalanan. Ambil semangat untuk menjadi yang lebih baik sebagai bekalan, kerana jiwa merdeka tidak menjanjikan kesenangan. Tetapi ia menjanjikan kemudahan di dalam setiap sisi atur kehidupan.

Jiwa merdeka dilihat pada tanda masih menyokong dan meraikan pada setiap manusia yang pernah dulu menyakitkan, dengan senyum kita menyapa jiwa-jiwa yang sebenarnya masih memerlukan kita untuk mengubah mereka seiring dengan kejayaan yang kita capai kini. Tanpa dendam menghulur tangan, memberi semangat jadilah sepertiku atau lebih baik dari aku. Kerana merdekanya jiwa bermakna tiada yang mampu menahan ia dari bahagia.

0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites