Follower Links

Sunday, 2 March 2014

Dunia dan isinya..lepaskanlah.


Bismillahi Allahu Akbar.


Lama beristirehat dari menulis dek kesibukan yang menghambat, melalui denai-denai suram yang penuh ranjau merintang. Kini sudah di tahun kedua kajian saya, dalam kudus berdoa agar kajian ini mampu dihabiskan tahun ini juga. Tempoh masa minimum yang perlu dipenuhi untuk graduate bagi PHD adalah dua tahun setengah. Dan saya menyimpan baki sem terakhir awal tahun hadapan hanya untuk viva dan correction.

Alhamdulillah, perjalanan ini terlalu pantas. Lebih pantas yang dari saya jangkakan, bukan bermakna ia laluan mudah. Namun seakan ada barakah dan rahmat di dalamnya, kesukaran dan kepayahan yang dialami walau tetap perit terasa, namun masa mengubatnya menjadi parut yang terukir indah. Allah, inilah keberkatan Al Quran.

Saya bukan Hafiz yang hebat ingatannya, yang cair dan lancar setiap juzu dan surah.Tetapi, saya adalah antara golongan Hafiz biasa, yang sentiasa berencah pulas untuk mempertahankan hafalan di dada. Sukar, Allah.. Bayarannya sangat mahal,pengorbanan demi pengorbanan perlu dilakukan. Dulu kesibukan dunia saya lepaskan demi kecintaan ini, ketika kerjaya menawarkan banyak benda..mata ini terpaksa dipejamkan dan melepaskan apa yang ada, tiada apa yang mampu membeli Al Quran di hati walau dunia mencurah emas dan menghampar lautan berlian.

Pesanan hamba buat teman di luar, hiduplah berprinsip dan genggamilah ia sekuat hati. Bila engkau terpaksa memilih salah satu, pilihlah yang menyelamatkanmu dan setia selamanya. Engkau bakal terjerat dengan permainan takdir, memilih kerjaya yang menyibukkan sehingga melupakan mutiara di genggaman. Sukar bukan, saya juga pernah melaluinya. Namun ingatlah, setiap perjalanan yang bermula akan ada penghujungnya. 

Di penghujungnya itu, kerjaya yang kau buru, harta yang kau timbuni, anak dan isteri yang kau cintai..kelak akan diganti, kau yang sudah meninggalkan mereka akan dilupakan. Seperti engkau yang melupai mereka yang sudah tiada, ingatan yang ada hanya bermusim. Lalu fahamilah.. Jadilah si bijaksana yang tahu apa yang sepatutnya lebih penting.

Jika kalian terpaksa melepaskan seluruh dunia dan isinya demi mempertahankan Al Quran, percayalah Al Quran tidak akan membiar kalian menderita. Huluran syafaatnya pasti ada, masa akan berjalan dan mengenalkanmu satu persatu yang dunia kini memburumu. Pesanan ini disampaikan kerana hati kotor ini sudah merasainya, apa yang pernah diburu sewaktu tika itu akhirnya kembali rapat mengekori. Ketika itu akan kau sedar, keperitan yang kau lalui nanti tidaklah sehebat ganjaran yang kau terima.

Adalah sukar untuk hamba memahamkan kalian manisnya perjalanan ini, melainkan kalian mula menelusuri laluan ini. Sabar yang seketika itu, menghadiahkan sejuta rahmat yang tidak ternilai. Untuk melepaskan dunia demi kecintaan hafalan adalah sukar, jika hatimu meragui kebenarannya. Kalian hanya mengiyakan dengan kata-kata, sedang hati berat untuk melaksanakannya. Itu manusia average, normal dan biasa. Maka berdoalah kepada Yang Maha Penyayang, jangan letakkan kita dalam golongan average. Letaklah kita di dalam golongan yang terpilih, yang benar mengotakan ikrarnya “Solatku, ibadahku, hidupku dan matiku, hanya untuk Rabbul Alamin”.

Dunia ini mengasyikkan, tetapi bukan tempatmu selamanya. Akhirat itu pasti, itulah destinasimu suatu hari nanti. Dan kalian adalah musafir, maka hiduplah seperti seorang musafir agar sampai ke destinasi dengan bekalan yang cukup dan sempurna.

0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites