Bismillahi Allahu Akbar.
Lama beristirehat dari menulis dek kesibukan yang
menghambat, melalui denai-denai suram yang penuh ranjau merintang. Kini sudah
di tahun kedua kajian saya, dalam kudus berdoa agar kajian ini mampu dihabiskan
tahun ini juga. Tempoh masa minimum yang perlu dipenuhi untuk graduate bagi PHD
adalah dua tahun setengah. Dan saya menyimpan baki sem terakhir awal tahun
hadapan hanya untuk viva dan correction.
Alhamdulillah, perjalanan ini terlalu pantas. Lebih pantas
yang dari saya jangkakan, bukan bermakna ia laluan mudah. Namun seakan ada
barakah dan rahmat di dalamnya, kesukaran dan kepayahan yang dialami walau tetap
perit terasa, namun masa mengubatnya menjadi parut yang terukir indah. Allah,
inilah keberkatan Al Quran.
Saya bukan Hafiz yang hebat ingatannya, yang cair dan lancar
setiap juzu dan surah.Tetapi, saya adalah antara golongan Hafiz biasa, yang
sentiasa berencah pulas untuk mempertahankan hafalan di dada. Sukar, Allah..
Bayarannya sangat mahal,pengorbanan demi pengorbanan perlu dilakukan. Dulu
kesibukan dunia saya lepaskan demi kecintaan ini, ketika kerjaya menawarkan
banyak benda..mata ini terpaksa dipejamkan dan melepaskan apa yang ada, tiada
apa yang mampu membeli Al Quran di hati walau dunia mencurah emas dan
menghampar lautan berlian.
Pesanan hamba buat teman di luar, hiduplah berprinsip dan
genggamilah ia sekuat hati. Bila engkau terpaksa memilih salah satu, pilihlah
yang menyelamatkanmu dan setia selamanya. Engkau bakal terjerat dengan
permainan takdir, memilih kerjaya yang menyibukkan sehingga melupakan mutiara
di genggaman. Sukar bukan, saya juga pernah melaluinya. Namun ingatlah, setiap
perjalanan yang bermula akan ada penghujungnya.
Di penghujungnya itu, kerjaya yang kau buru, harta yang kau
timbuni, anak dan isteri yang kau cintai..kelak akan diganti, kau yang sudah
meninggalkan mereka akan dilupakan. Seperti engkau yang melupai mereka yang
sudah tiada, ingatan yang ada hanya bermusim. Lalu fahamilah.. Jadilah si
bijaksana yang tahu apa yang sepatutnya lebih penting.
Jika kalian terpaksa melepaskan seluruh dunia dan isinya demi
mempertahankan Al Quran, percayalah Al Quran tidak akan membiar kalian menderita.
Huluran syafaatnya pasti ada, masa akan berjalan dan mengenalkanmu satu persatu
yang dunia kini memburumu. Pesanan ini disampaikan kerana hati kotor ini sudah
merasainya, apa yang pernah diburu sewaktu tika itu akhirnya kembali rapat
mengekori. Ketika itu akan kau sedar, keperitan yang kau lalui nanti tidaklah
sehebat ganjaran yang kau terima.
Adalah sukar untuk hamba memahamkan kalian manisnya
perjalanan ini, melainkan kalian mula menelusuri laluan ini. Sabar yang seketika
itu, menghadiahkan sejuta rahmat yang tidak ternilai. Untuk melepaskan dunia
demi kecintaan hafalan adalah sukar, jika hatimu meragui kebenarannya. Kalian hanya
mengiyakan dengan kata-kata, sedang hati berat untuk melaksanakannya. Itu
manusia average, normal dan biasa. Maka berdoalah kepada Yang Maha Penyayang,
jangan letakkan kita dalam golongan average. Letaklah kita di dalam golongan
yang terpilih, yang benar mengotakan ikrarnya “Solatku, ibadahku, hidupku dan
matiku, hanya untuk Rabbul Alamin”.
Dunia ini mengasyikkan, tetapi bukan tempatmu selamanya.
Akhirat itu pasti, itulah destinasimu suatu hari nanti. Dan kalian adalah
musafir, maka hiduplah seperti seorang musafir agar sampai ke destinasi dengan
bekalan yang cukup dan sempurna.