Follower Links

Thursday, 11 April 2013

Jantina apakah bulan dan matahari.

Sesekali merenung abjad-abjad dari Kitab Quran seusai dibaca, kadang kala terbit rasa ingin tahu tentang alam cakerawala yang melitupi dunia yang kita hamba bernafas dengan udaranya. Rahsia dan keajaibannya tetap melangkaui zaman kita nusa bangsa walaupun ia diturunkan sejak lebih 1400 tahun  dahulu lagi.


Mutiara Al Quran tidak pernah memadamkan keterujaan kita hamba untuk terus menyelongkarinya, seperti sejuk angin malam yang sangat menenangkan jiwa tika menelaahnya. Tadabbur dinihari pada Surah Yaasin tentang kejadian alam yang diciptakan berpasang-pasangan:

"Maha suci Allah yang menciptakan berpasang-pasangan semuanya, di antara apa-apa yang ditumbuhkan dan dari diri mereka sendiri dan dari apa-apa yang tidak mereka ketahui". (Yaasin: 36)

Bias sinar rembulan yang mencuri masuk ke kamar kali ini sangat mencipta persoalan, pernahkah kita terfikir jantina apakah bulan dan matahari yang sering menghiasi wajah dunia. Yang pusingannya menjadikan umur kita semakin meningkat dari hari ke hari, yang padanya kita mentafsirkan pasang surutnya lautan. Pernahkah kita sedari pada anehnya dua makhluk terbesar ini?



Mungkin kerana terlalu biasa, kita manusia hamba kadang-kadang sering melupakan apa yang wujud di hadapan mata. Persoalan itu membuatkan mata yang kekaburan ini sukar dilelapkan, lalu surah dan juzu` diselak satu persatu. Bermula dari belakang sehingga ke hadapan, kerana penceritaan makhluk kebanyakkan berada di juzu dan surah yang akhir-akhir.

Sehingga tiba di dua ayat pada Surah An`am, tika Al Quran ini bercerita tentang Baginda Ibrahim alaihi salam mencari di mana dan apa sebenarnya Tuhan. Di situ wujud bagaimana matahari dan bulan yang disangka mengawal putaran alam,rupanya terbenam jua apabila sampai waktu yang diaturkan. 

“Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku." Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat. "


Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar." Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. (An`aam 77 & 78)

Bila mana Allah menggunakan nama QAMAR (BULAN), DIA menggantikan sifat bulan yang terbit, Bazighann: iaitu terbit tanpa Ta` Marbuttah yang membawa pengenalan bagi lelaki. Manakala diwaktu perkataan AS SYAM(MATAHARI), maka digantikan sifat terbit di situ Bazigahatan, dengan adanya Ta` Marbutah yang membawa pengenalan sebagai perempuan.

Mengapa wujud perbezaan kepada dua nama yang sememangnya boleh ditasrif (kenalpasti) sebagai lelaki apabila tiada Ta` Marbuttah, tetapi sifat mereka dipecahkan menjadi dua keadaan berbeza. Sepatutnya nama bagi si Matahari (AS SYAM) juga diguna sifat lelaki, iaitu Bazighan yang membawa maksud terbit.Bagaimana pula penjelasan dari ayat pertama tadi, bahawa setiap benda di alam semesta diciptakan berpasangan?


Dengan kudus ilmu yang ada pada hamba ini, sukar bagi kita untuk mengatakan bahawa Bulan itu jantinanya lelaki, sedang matahari adalah wanita memandangkan tiada sebarang fakta kukuh yang disokong dengan alatan canggih lagi moden masa kini. Namun pada tilikan naïf hamba, ilmu Al Quran sememangnya sudah terbukti melangkaui kecanggihan manusia. Berjuta lagi rahsia yang menanti untuk kita hamba membongkar ia buat manfaat bersama.

0 comments:

Post a Comment

Share Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites