Sesekali merenung abjad-abjad dari
Kitab Quran seusai dibaca, kadang kala terbit rasa ingin tahu tentang alam
cakerawala yang melitupi dunia yang kita hamba bernafas dengan udaranya. Rahsia
dan keajaibannya tetap melangkaui zaman kita nusa bangsa walaupun ia diturunkan
sejak lebih 1400 tahun dahulu lagi.
Mutiara Al Quran tidak pernah
memadamkan keterujaan kita hamba untuk terus menyelongkarinya, seperti sejuk
angin malam yang sangat menenangkan jiwa tika menelaahnya. Tadabbur dinihari
pada Surah Yaasin tentang kejadian alam yang diciptakan berpasang-pasangan:
"Maha
suci Allah yang menciptakan berpasang-pasangan semuanya, di antara apa-apa yang
ditumbuhkan dan dari diri mereka sendiri dan dari apa-apa yang tidak mereka
ketahui". (Yaasin: 36)
Bias sinar rembulan yang mencuri
masuk ke kamar kali ini sangat mencipta persoalan, pernahkah kita terfikir jantina apakah bulan dan matahari yang
sering menghiasi wajah dunia. Yang pusingannya menjadikan umur kita semakin
meningkat dari hari ke hari, yang padanya kita mentafsirkan pasang surutnya
lautan. Pernahkah kita sedari pada anehnya dua makhluk terbesar ini?
Mungkin kerana terlalu biasa, kita
manusia hamba kadang-kadang sering melupakan apa yang wujud di hadapan mata.
Persoalan itu membuatkan mata yang kekaburan ini sukar dilelapkan, lalu surah
dan juzu` diselak satu persatu. Bermula dari belakang sehingga ke hadapan,
kerana penceritaan makhluk kebanyakkan berada di juzu dan surah yang
akhir-akhir.
Sehingga tiba di dua ayat pada Surah
An`am, tika Al Quran ini bercerita tentang Baginda Ibrahim alaihi salam mencari
di mana dan apa sebenarnya Tuhan. Di situ wujud bagaimana matahari dan bulan
yang disangka mengawal putaran alam,rupanya terbenam jua apabila sampai waktu
yang diaturkan.
“Kemudian
tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku."
Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku
tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat. "
Kemudian
tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang
lebih besar." Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Hai
kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. (An`aam 77 & 78)
Bila mana Allah menggunakan nama
QAMAR (BULAN), DIA menggantikan sifat bulan yang terbit, Bazighann: iaitu
terbit tanpa Ta` Marbuttah yang membawa pengenalan bagi lelaki. Manakala
diwaktu perkataan AS SYAM(MATAHARI), maka digantikan sifat terbit di situ
Bazigahatan, dengan adanya Ta` Marbutah yang membawa pengenalan sebagai
perempuan.
Mengapa wujud perbezaan kepada dua
nama yang sememangnya boleh ditasrif (kenalpasti) sebagai lelaki apabila tiada
Ta` Marbuttah, tetapi sifat mereka dipecahkan menjadi dua keadaan berbeza.
Sepatutnya nama bagi si Matahari (AS SYAM) juga diguna sifat lelaki, iaitu Bazighan
yang membawa maksud terbit.Bagaimana pula penjelasan dari ayat pertama tadi,
bahawa setiap benda di alam semesta diciptakan berpasangan?
Dengan kudus ilmu yang ada pada hamba
ini, sukar bagi kita untuk mengatakan bahawa Bulan itu jantinanya lelaki, sedang
matahari adalah wanita memandangkan tiada sebarang fakta kukuh yang disokong
dengan alatan canggih lagi moden masa kini. Namun pada tilikan naïf hamba, ilmu
Al Quran sememangnya sudah terbukti melangkaui kecanggihan manusia. Berjuta
lagi rahsia yang menanti untuk kita hamba membongkar ia buat manfaat bersama.