Secubit rasa di sebalik sebutir perkataan “Kedoktoran” ingin
hamba kongsikan, di kala rasa secubit inilah yang menjadikan masam manis laluan
kehidupan. Ramai orang melihat warna pelangi di kaki awan, lalu dalam pegun
mereka terlupa bahawa yang menghadirkan pelangi tadi adalah rintik hujan.
Daerah kedoktoran adalah daerah jiwa yang sebenar. Ada yang awalnya tumbang, ada yang tersungkur di pertengahan..dan ada yang terus hilang tanpa jejak perjalanan. Tapi itu hanya sebahagian cerita keperitan, namun segala keperitan yang dilalui akan ada bayaran. Sebutir topi sarjana bulat di pentas penganugerahan, itulah ultimate kepuasan.
Begitu juga bidalan hamba untuk episod
kedoktoran, di kala orang teruja dengan kejayaan yang kita miliki sehingga
merasakan kita berjaya kerana kita hebat, bertuah atau apa apa sahaja yang
biasa kita dengar. Tanpa mereka tahu,
mengapai awan di puncak kedoktoran dilalui dengan titis peluh dan
airmata. Lebih terasa kesakitan apabila kita melalui daerah ini keseorangan,
kerana dunia “research” (dengan izin) adalah satu daerah paling sepi dan sunyi
dalam episod dunia sarjana. Daerah yang jatuh bangunnya adalah sendirian, penat
dan memeritkan.
Ada waktu semangat berkobar setinggi
gunung, melepasi sejuta halangan mendatang. Adakala ia gugur ke bumi sekering
daun, mengikut lintuk-lintuk angin petang. Kering. Lesu dan tak bermaya.
Daerah kedoktoran adalah daerah jiwa yang sebenar. Ada yang awalnya tumbang, ada yang tersungkur di pertengahan..dan ada yang terus hilang tanpa jejak perjalanan. Tapi itu hanya sebahagian cerita keperitan, namun segala keperitan yang dilalui akan ada bayaran. Sebutir topi sarjana bulat di pentas penganugerahan, itulah ultimate kepuasan.
Dan hamba yang masih teraba-raba
mencari kekuatan, menghabiskan sisa perjalanan yang memeritkan. Di kala tuan-tuan
hanya memahami kedoktoran pada sejemput nama dan kebanggaan, musafir-musafir
ilmu seperti hamba mendapatinya ia hanya seperti perjalanan di lautan. Hanya matahari
dan bintang jadi panduan. Jika diibaratkan menuntut ilmu seperti jihad maka
hamba rasa itulah kebenaran. Jihad termasuk dalam mengorbankan masa dan
usia untuk sesuatu yang bermanfaat buat ummat, demi memastikan penyebaran dan
pengembangan ilmu sejagat.
Bagi yang sedang memasang niat
untuk menyambung kedoktoran, Ahlan..selamat datang ke daerah jiwa yang
memenatkan. Pastikan di permulaan sudah dibekalkan semangat walau cuma
segenggam, pegang erat ia sehingga ke hujung perjalanan. Senyum. ;)