Serasanya mana-mana Hafiz/Hafizah yang di luar sana
menghadapi masalah yang sama, masalah yang sama hamba hadapi di sini.
Mengekalkan ingatan dan hafazan bukan tugas mudah, itulah kesukaran..itu
jugalah cabaran..tetapi itu juga merupakan satu tanggungjawab.
Pesan murabbi, yang paling manis dalam menghafaz Al Quran
bukan sebanyak mana yang kita ingat atau secepat mana kita menghafaz dari juzu-
juzu’ mahupun surah ke surah. Yang paling manis adalah apabila kita terlupa
pada sebahagian hafalan yang ada dan kita berjaya mengingatinya kembali. Itulah
saat paling manis dalam menghafaz dan menjaga hafalan.
Sepanjang pengalaman, ada 3 situasi yang biasa dihadapi
dalam menjaga hafalan. Setiap situasi memerlukan rawatan yang berbeza, kekerapan
murajaah juga berbeza mengikut keadaan.
Pertama, mengingati ayat tetapi terlupa susunan. Masalah ini
adalah biasa berlaku pada surah-surah yang mempunyai ayat-ayat pendek tetapi
hujungnya berulang seperti surah Al Qamar di juzu’ pengakhiran.
Kedua, hanya mengingati sebahagian ayat tanpa mampu
menyudahkan ayat tersebut. Biasanya berlaku pada ayat-ayat yang panjang seperti
ayat hutang di Surah Baqarah dan sewaktu dengannya. Adapun masalah seperti ini
sebenarnya akan berlaku ke semua tempat dalam hafalan sekiranya murajaah tidak
dilakukan dengan kerap dan sempurna.
Ketiga, peringkat paling kritikal apabila kita gagal
mengingati sepenuhnya ayat-ayat tersebut, gagal menyambung bahagian ayat dan
gagal mengingati kedudukannya di dalam Al Quran. Kata murabbi, ini musibah dan
kegagalan paling besar bagi seorang Hafiz/Hafizah. Jika mengalami masalah
ingatan peringkat ini hanya pada sebahagian kecil ia masih boleh diterima,
namun jika masalah ini dihadapi hampir keseluruh ingatan..itu tandanya kita
sudah kehilangan keberkatan hidup paling besar.
Antara butir pesan murabbi-murabbi sewaktu di bumi tarbiah,
Al Quran ibarat nyawa bagi Hafiz/Hafizah. Hilangnya Al Quran bererti hilanglah
roh dan kehidupan seorang muslim yang diamanahkan mukjizat paling agung.
Hilangnya hafalan bukanlah masalah besar, tetapi hilangnya usaha untuk murajaah
dan menjaga hafalan adalah sebesar-besar bala dan musibah dalam kehidupan.
Kita
tidak akan ditanya berapa banyak hafalan yang ada, tetapi kita akan ditanya
berapa banyak usaha yang kita lakukan untuk menjaga hafalan dan memahami
isinya.